Assalamualaikum,
Akhirnya, terjebak juga aku ke dalam kancah penulisan maya. Tanpa matlamat yang jelas dalam penulisan dan tanpa pengalaman ataupun pengetahuan. Berbekalkan hanya kepada kebosanan sementara menunggu nasi yang di tanak masak.
Dalam alunan musik keroncong dari dinding perutku, aku cuba mengetuk benakku yang dah lama dungu dari susunan kata dan aturan bahasa. Keroncong perut kosong yang kadang-kadang bergetar agak keras memulas dan memeritkan, menyukarkan benakku yang beku untuk mencair, mengalir idea, meluah rasa. Benakku menjadi kosong, sekosong perutku yang baru sebentar tadi di alas maggi. Tetapi keroncong yang memeritkan ini, sering kali mengajakku berfikir tentang kosongnya jiwa ini lantaran tidak diisi dengan makanan rohani yang sepatutnya. Keroncong ini juga mengajakku menyelami nasib manusia yang sering kali berdendang dengan keroncong ini dari segala perosok bumi. Mengenang nasib mereka membuat aku terkedu sendiri dan terus menyedari bahawa dalam hidup ini aku masih amat bertuah sekali. Dalam melayan keroncong ini aku masih mampu duduk di depan komputer ini yang nilainya mampu mengisi perut beratus insan untuk sehari.
Ya, keroncong ini, walau cuba akku elakkan saban hari, adalah satu bunyi yang tidak asing lagi. Tidak asingnya keroncong ini sehingga jarang aku sedari bahawa ianya adalah satu peringatan buat diri ini. Satu peringatan kepada diri sendiri dan mereka yang berlegar di sekeliling bumi. Peringatan yang sepatutnya membawa aku mengadap Dia yang mencipta dan sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang telah dan akan diberi.
Ahh... suis periuk nasi telah berdetak, aku bingkas bangun ke dapur menyenduk nasi dan gulai. Kehadiran daun ketereh dan budu membuat aku berselera sekali. Sesekali tergigit cili padi, aku dengan pantas meneguk air sejuk berkali-kali. Selesai menjamu selera dan meredakan keroncong tadi aku berdepan dengan tv dan kerusi. Aku terus menjamu mata dan beristirehat secukupnya kerana esok hari kerja.
Aku terus terlupa, kisah makanan rohani dan mereka yang kebuluran. Aku hanya manusia... manusia lagi melayu yang mudah lupa. Memang enak berbicara bila kita merasa, tetapi mudah lupa bila kita dah merasakannya.
Cukup rasanya sebagai pemula bicara, segala tutur kata mungkin tersilap bahasa, ku pinta maaf agar di tunjuk cara. Yang molek lagi baik milikNya semata-mata.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment