Apabila berlaku sesuatu yang dirasakan malang dan besar pada sesebuah pihak maka berduyunlah juak-juak rakyat menjenguk dan memasang telinga untuk mencari kepastian dalam serabut jemaah yang tak berimam. Masing-masing cuba memanjangkan leher dan mencapangkan telinga, cuba mengutip bibit-bibit berita di sebalik kehancuran sebuah kenderaan di sisi jalan.
Yang berduyun di sisi jalan mula menyusun kata, menutur bicara bagaimana bermula satu peristiwa menyayat ini dengan lagak sebagai penyampai berita sensasi. Berkisar dari mula terjadi bencana, berita berkembang kepada mencari punca dan salah siapa. Nah, kali ini kisahnya agak mudah, di sana pengendala jentera bernama bas sani ekspress mengaku terlena sebentar semasa bekerja.
Yang lain, segala manusia yang tak terlibat menunding jari kepada dia dan ramai lagi menunding jari kepada pemilik syarikat dan ada juga yang berkata tentang kenderaan yang bertingkat dua tidak patut diguna. Tetapi sunyi bicara mereka tentang pembahagi jalan daripada besi itu yang bersalah kerana tidak jelas pada mereka barang yang kaku itu bisa menyumbang kepada peristiwa duka.
Tidaklah aku berniat untuk membela si pemilik dan pengendali atau pemandu yang terlibat dengan tragedi ini, cuma sekadar membawa satu lagi perkara yang boleh kita tundingkan jari bersama-sama. Ya penghadang besi yang selama ini kaku dan sunyi daripada keji dan maki mangsa, yang selama ini duduk sopan bisu seribu bahasa di sisi jalan. Si kaku yang bisu ini hakikatnya pembunuh paling besar kemalangan jalan raya, di atur sebegitu rupa sebagai pembantu yang diharapkan rupanya petualang di sebalik perkara malang di jalanan.
Sebentar bersama jentera pencari sesawang maya membawa aku kepada seribu bencana oleh si durjana penghadang besi lantaran itu terlintas di benakku, perlukah kenderaan bertingkat dua yang di perhalusi kebenarannya atau si besi kaku bernama penghadang jalan yang di cari penggantinya.
Si besi kaku itu yang niatnya murni menyerap segala tujah dan memperlahankan kemaraan kenderaan terkadang bahkan selalu menerbos masuk ke kawasan larangan dan menghukum mereka yang sembrono, leka dan malang. Si besi kaku yang bisu lagi buta itu tidak pandai memilih mangsanya, sesiapa sahaja barang berada dalam jangkauannya adalah pesalah yang harus dihukum mengikut jarak.
Tidak sekali ingin ku katakan bebaslah pemandu itu dari silapnya dan tidak pula aku menghukum silap si pemandu, begitu juga dengan kenderaan dan syarikat, sekadar menambah bahan berhujah di kedai kopi mewah. Menambah sebuah lagi bahan tuduhan bagi mereka yang gemar sensasi dan menambah satu lagi bahan fikiran untuk mereka yang bergelar jurutera.
Dan percayalah, ini semua sekadar cerita dan berita buat bekalan menyambut tahun baru, kau aku dan meraka akan lupa sehingga si besi kaku itu beraksi semula.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment